"Hish.. banyaknya tak boleh pakai…," rungut Marlia perlahan. Habis bertaburan pakaian di atas katil. Satu persatu dicuba pakai. Dia tidak puas hati, kebanyakkannya tidak muat.

"Astaghfirullah..! Apa sepah-sepah ni, yang?" terperanjat Khairil ketika membuka pintu bilik dan melihat pakaian bertaburan di sana sini.

"Ling, you tengoklah ni... semua tak boleh pakai! Menyampah betul laaa…," rungut Marlia pada suaminya. Khairil tersenyum.

"So?" soal Khairil pendek. Buat-buat tidak mengerti.

"You tanya I pulak? Ling, I dah gemuk tau! Takkan tak faham-faham?" Marlia mula menyinga. Geram tak sudah pada berat badannya yang tidak mahu menurun. Asyik mendaki bukit jer. Sakit hati betul!

"Dah tu yang you beli baju muat-muat badan je kenapa? Belilah yang besar-besar sikit."

Marlia mendengus. "Bukan pasal tu. Masalahnya, I ni dah gemuk. I tahu dah, kalau baju-baju ni tak boleh pakai maknanya memang berat badan I dah naik. I bencilah macam ni."

"Then takpelah, kita beli baju baru. Esok kita shopping ya?"

Marlia menjeling suaminya. "You ni kan, asal I gemuk je beli baju baru. Asal badan I naik je, you ajak beli baju baru. I bukan nak baju baru. I nak kurus!"

Khairil tergelak besar.

"Apsal you gelak? What’s so funny?"

"You ingat bila you cakap ‘I nak kurus’ tu macam nak beli barang? Boleh dapat bila you bayar? Helo sayang… kalau nak kurus you kenalah buat sesuatu. Diet sikit, especially tang makan tu. Ni I tengok bila you makan, tak ingat dunia. Budak-budak tu punya lebihan, you yang habiskan. Habis camana you nak kurus?"

Marlia mencebik. "Alaa… budak-budak tu suka membazirlah… I sayang tengok makanan tu tak habis. Membazir kan amalan syaitan."

"Tahu pun. Lebih baik you habiskan daripada terbuang, right? Tapi lepas tu janganlah merungut badan naik. Lagipun, I tak kisah yang. You gemuk ke kurus ke, seriously I don’t mind. Yang penting, you masih cantik di mata I. Okay?"

Marlia memuncungkan mulutnya. "Iyalah tu. Orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Mulut cakap lain, hati entah cakap apa pulak."

Khairil duduk bersebelahan isterinya.

"Betul, yang. Buat apa I nak tipu. Kalau mulut I kata you cantik, maknanya you cantiklah. Dahlah, cepat kemas baju-baju ni. Ke you tak kisah atas baju-baju ni?"

Marlia mengerutkan dahi sambil memandang suaminya yang tersenyum simpul. Adalah maksud tersirat tu!

"Eh, takde kerja lain ke dalam kepala tu?"

"Ada. ‘Kerja’ tu lah!"

Marlia bingkas bangun dari katil. "Baik I pergi masaklah. Nanti semua orang kebulur kalau I lambat masak."

"Hahaha..!" Khairil ketawa besar sambil tolong mengemaskan baju-baju isterinya. Gembira kerana dapat menyakat isteri kesayangannya yang semakin hari semakin ‘comel’ itu.

*****

Marlia benar-benar ingin diet. Kata-kata Suhaina di pejabat semalam telah menyebabkan dia rasa tergugat dengan keadaan dirinya sekarang. Sebelum kahwin beratnya cuma 50kg tapi sekarang, setelah ada dua orang anak, beratnya mencecah 65kg!

Suhaina yang memang terkenal dengan gelaran ‘Ratu Kebaya’ di pejabatnya itu tak habis-habis menyuruhnya diet.

"Dietlah, Lia. Kau ni aku tengok makin hari makin tembamlah."

Marlia terkedu. Terasa nasi yang ditelan amat sukar untuk dikunyah.

"Ya ke, Su?" soalnya kembali.

"Kalau tak, takkanlah aku cakap. Kau tengok aku. Anak dah tiga, beb! Berat aku 45kg lagi tau. In fact, sebelum kahwin berat aku 50kg jer. Berat kau berapa sekarang?"

Marlia teragak-agak untuk menjawab. Tak pernah orang bertanyakan hal seperti itu padanya, secara direct!

"Err… adalah.. dalam 60 lebih."

"Ha? 60 lebih? Berat tu, Lia…! Kalau kau tinggi aku tak kisah, ni kau pun rendah macam aku gak."

"Alah, nak buat macamana. Dah nak naik. Lagipun Khairil tak kisah," Marlia cuba bersikap selamba. Padahal hatinya rasa terbakar.

"Puan Marlia, lelaki memanglah cakap macam tu. Tak kisah. Tapi dalam hati dia, mana kau tahu kan? Laki kau tu dahlah handsome, putih… dulu masa kau kecik, okaylah padan. Sekarang ni, padan lagi?"
Marlia tidak menjawab. Sedikit sebanyak kata-kata Suhaina itu masuk dek akal juga. Memang dulu dia sama cantik sama padan dengan Khairil. Tapi sejak beranak-pinak ni, dah macam kakak dengan adik je lagaknya. Hish, malunya!

"Lia, jaga sikit laki kau tu. Kita ni, apa-apa pun kita buat untuk suami kita jugak. Kalau dia tengok kita cantik, takdelah mata dia pandang perempuan lain. Jangan sampai kau berputih mata sudahlah," ujar Suhaina lagi. Kata-kata yang menambahkan beban di fikirannya.

"Habis aku nak buat macamana? Aku tak pernah dietlah," soal Marlia. Sememangnya, sejak dulu lagi dia tidak pernah berdiet. Cuma masa berpantang, dia kurangkan makan. Tetapi bila lepas habis pantang, beratnya sukar untuk turun. Makan lebih sikit saja, badannya naik dengan kadar segera. Pening Marlia memikirkan perkara ini.

"Kau janganlah makan nasi. Nasi tu yang buat kau gemuk, tau? Kau tengok aku, mana aku ada makan nasi. Bila breakfast, kau makan je dua ketul kuih. Dah. Kalau tak ambil breakfast pun takpe. Minum je air milo. Bila dinner pulak, kau makanlah sebiji buah ke. Buat tahan lapar," terang Suhaina bersungguh.

Marlia terkedu mendengarnya. Tak makan nasi? Makan dua ketul kuih je? Dan makan sebiji buah? Biar betul!

"Kalau kau ikut cakap aku, dua bulan je aku bagi kau. Gerenti kau turun sampai 10 kilo!"

Mati aku! Desis hati kecil Marlia. Namun, demi cita-citanya yang satu itu, dia sanggup mencuba.

****

Hari ini genap seminggu Marlia mengikut nasihat Suhaina. Tanpa berfikir panjang, tanpa memikirkan kesannya, dia sedaya-upaya cuba untuk tidak menjamah makanan sewenang-wenangnya. Khairil sudah beberapa kali menegur namun Marlia kuatkan tekadnya. Dia mesti capai cita-citanya dalam masa dua bulan ini. Biarlah apa orang nak kata!

Kelaparan yang tidak terhingga kadang-kadang membuatkan dia jadi pemarah. Kadang-kadang kepalanya berasa pening. Badannya juga selalu rasa letih. Kerja rumah mula terabai. Kerja pejabat tidak mendapat tumpuan sepenuh daripadanya. Dia tidak boleh lebih berfikir, pasti kepalanya pening. Ada waktu-waktu tertentu jantungnya terasa berdebar secara tiba-tiba. Sesekali, tangannya menggigil tanpa sebab.
Namun, dia masih mahu meneruskan. Sudah hampir dua minggu crash diet itu diamalkan. Tapi beratnya hanya turun sekilo sahaja. Marlia rasa bengang.

"Tipulah penimbang ni! Takkan dah diet 2 minggu baru turun sekilo je? Dah rosak ke?" Marlia membebel sambil kakinya menghentak-hentakkan kaki di atasnya.

"Kenapa ni, yang? Marah-marah je I tengok?" tegur Khairil.

"Sibuklah you!" balas Marlia kasar.

Khairil terkedu. Aik, tegur elok-elok pun marah?

"Sukalah you kan?"

"Suka apanya?"

"Yalah, I dah diet 2 minggu tapi baru turun sekilo je! Sukalah hati you sebab I gemuk! Bolehlah you pasang lain."

Khairil semakin tak faham. Apa dah jadi dengan bini aku ni? Apa kena mengena dia gemuk dengan aku pasang lain? Lagipun, bila aku pasang lain?

"You ni kenapalah asyik cakap I pasang lain ni? Mana ada…"

"Sekarang takdelah. Nanti lama-lama bila you dah boring tengok badan I macam ni, mestilah ada niat nak pasang lain. Lelaki memang macam tu!"

Khairil menghela nafas berat. Parah bini aku ni!

"Yang, berapa kali I nak cakap. I takde niat pun nak pasang lain. Nak buat apa pasang lain? Cuba you fikir, kalau betul-betul I pasang lain. Then dia pun jadi gemuk macam you. Lepas tu dia pun sibuk-sibuk nak kurus macam ni. Dia pun bising-bising macam ni. Tak ke haru hidup I sampai dua kali? I tak sangguplah nak dengar dua-dua bini I bising-bising pasal benda yang sama. So, lebih baik I dengar you sorang je membebel-bebel daripada I dengar dua orang, betul tak?"

"Apa you merepek ni?!" jerit Marlia geram. Khairil terkejut mendengarkan jeritan Marlia tiba-tiba. Tapi dalam hatinya rasa ingin ketawa. Tak habis-habis kisah gemuk!

Khaliff dan Khalid yang berada di ruang tamu segera berlari ke dapur bila mendengar jeritan ibunya.

"Kenapa ni, papa?" tanya Khaliff.

Khairil tersenyum. "Mama mengamuk lagi. Dia dah diet 2 minggu tapi still gemok lagi!" Sengaja dia menekankan perkataan ‘gemok’ itu. Biar Marlia bertambah hangin lagi. Kekekeke…!

"Ma, Khaliff rasa mama bukan gemuk tapi mantap!"

Berderai tawa ketiga-tiga lelaki itu. Marlia naik radang. Tadi geram dengan penimbang sekarang geram dengan ketiga-tiga ‘K’ itu. Bukan nak bagi kata-kata semangat. Tapi menyakitkan hati lagi adalah.

"Hei korang pun sama ya! Okay, tengahari ni korang makan sendiri. Mama tak nak masak!" seraya itu dia turun dari penimbang dan terus naik ke bilik atas.

Pintu bilik dihempas kuat. Saja. Biar orang kat bawah dengar. Khairil dan kedua-dua anaknya tersenyum-senyum. Dalam dua minggu ni entah berapa kali mengamuk. Bila dah mengamuk, merajuk. Bila dah merajuk makan luar lagilah nampaknya tiga ‘K’ itu.

"So, apa lagi? Tukar bajulah. Kita makan luar macam biasa. Dapur ni memang takkan berasap tau sampai esok pagi," ujar Khairil pada anak-anaknya. Sedikit pun dia tidak kisah kalau Marlia tidak mahu masak. Entahlah, sejak dua minggu Marlia berdiet ni perangainya lain macam saja. Simptom-simptom nak kurus ke? Hmm… entahlah!

****

Sudah dua hari Marlia tidak ke pejabat. Badannya terasa begitu lemah sekali. Kadang-kadang dia tidak mampu berdiri lama-lama, rasa nak pitam. Khairil ada mengajaknya pergi ke klinik tapi dia berkeras tidak mahu. Suhaina kata, dalam dua hingga empat minggu pertama memang macam tu. Lepas tu bila badan kita dah biasa, keadaan akan kembali macam biasa. Marlia sanggup tunggu hingga empat minggu asalkan berat badannya benar-benar turun. Entah kenapa dia percaya bulat-bulat cakap Suhaina. Mungkin dia sudah nampak hasilnya pada diri Suhaina maka dia sanggup mencuba.

Khairil pulang agak awal petang itu. Dia tahu Marlia tidak sihat tapi isterinya berdegil tidak mahu ke klinik. Kadang-kadang timbul rasa kasihan kerana isterinya begitu berazam untuk kuruskan badan walaupun dia sebenarnya tidak kisah akan semua itu. Lagipun, dah penat dia menasihatkan Marlia supaya berdiet cara yang betul tapi Marlia tidak mahu menerima. Dia lebih mempercayai kata-kata Suhaina daripada mendapatkan nasihat doktor.

"Yang! Ooo.. Yang!" panggil Khairil berkali-kali sebaik masuk ke dalam rumah.

Pelik. Marlia tidak menyahut. Pantas Khairil naik ke tingkat atas dan masuk ke bilik utama. Ah sudah! Marlia terbaring di atas lantai tidak sedarkan diri. Khairil menghampiri dan beberapa kali menepuk-nepuk muka Marlia. Dilekapkan tapak tangan ke dahi Marlia. Panas! Marlia demam ni. Desis hati kecilnya.

Segera dia mendukung Marlia dan membawanya ke klinik berhampiran. Boleh tahan juga beratnya! Patutlah nak diet sangat. Hahaha… Khairil masih sempat tergelak di dalam hati. Kalau Marlia dengar mesti dia marah.

"Okay, encik tengok ya. Dua-dua line ni menyala. Maknanya isteri encik ni pregnant. Tahniah!" ujar Dr. Aziah.

Kedua-dua Marlia dan Khairil terlopong. Mengandung?

"Betul ke saya mengandung, doktor?" tanya Marlia.

"Iya, betul. Kalau tengok pada pregnancy test ni puan mengandung. Tapi kita tak pasti lagi berapa bulan. Bila kali terakhir puan datang haid?"

Marlia mengerut-ngerutkan dahi memikirkan bilakah kali terakhir dia datang haid. Mungkin dua bulan yang lepas. Entahlah dia pun tidak pasti sebab sejak kedatangan haidnya tidak teratur dia mula malas menanda calendar. Kadang-kadang tiga bulan sekali, atau empat bulan sekali. Paling lama sehingga enam bulan. Jadi dalam setahun beberapa kali saja dia datang haid. Sebab itu dia tidak lagi mengambil tahu tentang kitaran haidnya itu.

Lagipun, Khalid sudah berumur sembilan tahun jadi dia dan Khairil tidak merancang untuk mendapatkan anak lagi. Sangkanya, haid yang tidak teratur akan menyukarkan dia untuk mengandung. Tambahan lagi, sejak sembilan tahun yang lalu dia tidak pernah memakai apa-apa alat merancang kehamilan. Elok saja, tak mengandung pun. Alih-alih kali ni ‘menjadi’ pula!

"Entahlah. Tarikh yang tepat tak ingat tapi dua bulan lepas rasanya," jawabnya.

"Ok takpe kalau macam tu jom kita scan dulu."

Marlia berbaring di atas katil yang disediakan. Dia semacam tak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Dr. Aziah tadi. Dia dapat merasakan sedikit debaran ketika gel di sapukan di atas perut. Betul ke aku mengandung?

"Haa.. cuba puan tengok. Memang sah puan mengandung. Nampak tu? Cukup sifat semuanya."

Marlia dan Khairil sama-sama melihat ke skrin kecil berwarna hitam putih yang memaparkan sebuah kantung yang berisi seorang bayi kecil di dalamnya. Terlalu kecil. Khairil gembira. Terlalu gembira sebenarnya. Dia berharap Marlia tidak lagi meneruskan amalan dietnya yang teruk selepas ini.

"Saya rasa ini mungkin dalam sepuluh minggu. Let me check the heart beat, okay," ujar Dr. Aziah sambil menekan satu butang di tepinya.

Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!

Kuat dan laju degupan jantung si kecil itu. Marlia terharu. Gembira pun ada walaupun kehadiran bayi ini tidak dirancang. Dr. Aziah melakukan imbasan beberapa ketika sebelum meminta Marlia duduk kembali.

"Okay. Encik dan puan dah tengok kan tadi. The baby is in very good condition. Heart beat pun dah ada. Fizikal pun lengkap. Cuma tekanan darah puan agak rendah, sebab tu puan pengsan tadi. Saya cadangkan puan lebih banyak berehat. Jangan buat kerja berat-berat, relax selalu dan jangan terlalu stress. Nanti saya bagi puan MC seminggu supaya dapatkan balik energy tu. Mesti rehat tau! Encik jangan bagi dia buat kerja teruk sangat ya! Satu lagi, cuba makan benda yang berkhasiat lebih sedikit. Susu, sayur, buah dan sebagainya. Oh, ini anak yang ke berapa puan?"

"Yang ketiga."

"Oh, mungkin puan pun dah arif tentang pemakanan kan? Jadi nanti saya bagi puan asid folik saja buat masa ni. Kalau ada apa-apa nanti puan boleh refer pada saya balik okay. Sebulan lagi, puan datang buat check-up."

Setelah mengucapkan terima kasih Marlia dan Khairil keluar menunggu bil perubatan mereka siap. Semasa sedang menunggu tiba-tiba Marlia memandang Khairil di sebelahnya.

"Kenapa?" tanya Khairil melihatkan Marlia tidak berkedip memandangnya.

"Patutlah tak kurus-kurus! Mengandung!"

Khairil ketawa perlahan. "Patutlah marah-marah, merajuk!" ujar Khairil sinis.

Marlia sekadar tersenyum.

******

Marlia menatang dulang membawakan minuman untuk suaminya yang sedang leka menonton televisyen. Khaliff dan Khalid sedang bermain basikal di halaman rumah mereka. Marlia menjengah sekilas kelibat anak-anaknya. Tak sudah-sudah main!

"Eh, yang. Buat apa susah-susah buat air. Kalau I haus nanti I ambillah sendiri. Meh duduk sini, temankan I tengok tv," ajak Khairil pada isteri tercinta yang sudah sarat perutnya. Marlia sedang menunggu masa untuk melahirkan. Kali terakhir mereka bertemu doktor, bayi yang bakal dilahirkan mungkin seorang perempuan. Seronok tak terkira mereka berdua mendengarkan berita itu.

"Ling, I nak cakap sikit ni," ujar Marlia. Khairil mengerutkan dahi.

"Suhaina kan… suaminya ada perempuan lain."

Ternganga mulut Khairil mendengarkan berita tergempar itu.

"Hah! Biar betul, yang?" Khairil semacam tidak percaya dengan perkhabaran itu. Suhaina yang berbadan molek macam tu pun, masih mencari yang lain?

"Iya, betul. Kalau tak silap diorang dah nak nikah dah. Sian I tengok Su tu. Makin kurus I tengok, makan hati." Mendatar suara Marlia menuturkan kata-kata itu. Benar-benar dia kasihankan Suhaina.

"Okaylah tu, kata nak kurus kan?" Khairil memerli.

"Kurus sebab makan hati nak buat apa?" balas Marlia.

Khairil mendengus perlahan. "See? Got the point? Tak guna kalau kurus sebab makan hati, kan? Lebih baik gemuk tapi hati senang."

Marlia mengerutkan dahi tanda tidak faham.

"Sayang… gemuk atau kurus bukan sebab untuk kasih seorang lelaki beralih. Contoh terdekat kawan you tu. Punyalah slim, anak tiga, kononnya. Tapi suaminya cari juga yang lain. Yang penting hati si suami tu you kena jaga. Tapi untuk pengetahuan you, lelaki pun sebenarnya rasa takut tau kalau bini dia cantik sangat. Sebab tu I rela you gemuk. Dan, you tahu tak kenapa hati I ni tak pernah terdetik pun nak cari yang lain?"
Marlia tidak memberikan tindak balas apa-apa. Matanya tepat memerhatikan mata Khairil. Manalah aku tahu?

"Sebab you pandai jaga perut I. Makan minum I. You jaga anak-anak dengan baik. You jaga rumah biar tak sepah selalu, walaupun kami Triple K ni selalu buat sepah. Pendek kata, banyak yang you korbankan untuk hidup dengan I selepas kita kahwin. Setakat you gemuk sikit apalah nak heran sangat. Kalau you nak kurus sangat, lepas ni I hantar you pergi slimming centre. Tak payah nak crash diet sampai pengsan-pengsan macam tu." Panjang lebar Khairil memberi jawapan. Terharu Marlia mendengarkannya.

"Betul ke you sayangkan I?" soal Marlia.

"Iyalah, kalau tak takkan I mengandungkan you," jawab Khairil selamba. Pantas Marlia mencubit lengan suaminya itu.

Mereka senyap seketika sebelum Khairil menyambung bicaranya. "You ingat, I ni tak risau ke kalau you slim macam dulu? Risau tau. Takut you pulak kena kebas dari I nanti."

"Hish, takdenya I nak buat macam tu!" pintas Marlia cepat. Ke situ pula fikirannya. Tak pernah terlintas langsung untuk dia menduakan suami kesayangannya itu.

"Ha, habis tu? Yang you tuduh I cari lain buat apa? Kan ke berdosa menuduh orang tanpa bukti yang kukuh."

"Ala, I’m sorry laa.." Marlia mengusap perlahan lengan suaminya. Suasana hening seketika apabila masing-masing diam melayan perasaan masing-masing.

"Yang, Maghrib pukul berapa?" tanya Khairil. Marlia melihat jam di dinding.

"Rasanya lagi lima belas minit kot. Kenapa?"

"Sempat tak kita se’round’ dulu sebelum I pergi surau?" terbeliak mata Marlia mendengarkan usikan Khairil.

"You ni kan..!" Marlia menepuk kuat lengan suaminya.

"Habis you usap-usap tangan I. Lemah betul rasanya iman ni. Lembut tau tangan you, I tergoda!"

"Hish, teruklah you ni. Dah nak Maghrib boleh fikir macam tu! Dah, I nak suruh budak-budak masuk. Hii.. tak senonoh!" Marlia berleter sambil bangun untuk memanggil anak-anaknya masuk dan mandi.

Sementara Khairil di sofa terkekeh-kekeh ketawa melihatkan isterinya yang marah-marah. Satu lagi perkara yang tidak diberitahu pada isterinya, Marlia tidak pernah menolak kemahuan batinnya walau dalam keadaan apa sekalipun. Semua faktor itulah yang menyebabkan hatinya tidak berkeinginan untuk mencari yang lain. Harapnya biarlah sampai bila-bila.

p/s: cerpen nih hasil karya org lain..copy n paste jek..hehe